Thursday, January 21, 2010

SEKETIKA DI KOTA GURINDAM



Kembara di Singapura hampir tiba ke penghujungnya. Kami berkemas dan bersiap untuk ke Jeti Tanah Merah bagi menaiki feri ke Pulau Bentan di Kepulauan Riau Indonesia. Ustaz Rahim dan Ustaz Nazmi kerap mengingatkan kami agar tidak tertinggal barangan dan turut menasihati agar tidak lupa memakan ubat muntah terutama bagi mereka yang mabuk laut. Perjalanan ke Bagan Pinang, Pulau Bentan mengambil masa dua jam setengah mengharungi laut yang kadang kala berombak dan sekali-sekala feri yang dinaiki sedikit terumbang-ambing akibat dipukul ombak.

Jam di tangan menunjukkan pukul 9 malam. Aku agak terkeliru seketika apabila jam di jeti Tanjung Pinang menunjukkan pukul 8 malam setibanya aku di sana. Rupa-rupanya setelah aku bertanya kepada seorang rakan, dia memberitahu padaku bahawa waktu di sini lewat sejam berbanding di Malaysia. Aku cuba membiasakan dengan waktu di sini tanpa mengubah sedikit pun jarum jam yang aku pakai. Aku, rakan-rakan beserta pensyarah pengiring dijemput beberapa buah kenderaan yang sedang menanti di luar jeti. Pihak di sana telah menyediakan kemudahan pengangkutan bagi kemudahan dan keselesaan kami. Aku kemudiannya bersama lima lagi kawanku menaiki sebuah mpv yang benama Krista Kijang iaitu versi Indonesia bagi Toyota Unser. Aku tiba ke destinasi yang dituju iaitu perkarangan Masjid Qanaah, Batu Kucing. Aku beserta semua rombongan disambut dengan paluan kompang yang amat meriah dan memecah kesepian suasana malam di saat bulan sabit menyorok di sebalik awan.

Kami begitu dialu-alukan dengan pelbagai persembahan daripada penduduk kampung. Bermula daripada persembahan nasyid dan tarannum yang dipersembahkan oleh anak-anak cilik sehinggalah kepada persembahan gurindam dan berbalas pantun oleh srikandi-srikandi tempatan yang tampil dengan personaliti yang menawan. Majlis diteruskan dengan forum yang melibatkan pensyarah pengiring kami iaitu Ustaz Rahim Bin Ramly dan ketua rombongan kembara ilmu iaitu saudara Afif Bin Yahya sambil dipengerusikan oleh wakil Masjid Qanaah. Pelbagai isu semasa yang menghambat dunia Islam pada hari ini dibincangkan termasuklah isu bid’ah dan dakwah islamiyah. Selama hampir tiga jam kami di sini, program pada malam ini berakhir juga dengan setiap peserta mempamerkan gaya masing-masing semasa sesi penggambaran. Setelah itu, kami terus ke tempat penginapan di Hotel Pelangi tidak jauh dari sini. Kami terlena tanpa dipaksa malam itu selepas menunaikan solat Maghrib dan Isya’ secara jamak kerana keletihan sepanjang hari.

No comments:

Post a Comment

Islamic Widget