Saturday, January 23, 2010

LAMUNAN KENYATAAN DI PULAU PENYENGAT


23 DISEMBER 2009

Program berterusan pada hari ini. Selesai menikmati jamuan sarapan pagi di dewan makan hotel, aku dan rakan-rakan yang lain beserta pensyarah pengiring dibawa melawat ke tempat penghasilan dan penjualan sotong kering dan makanan ringan berasaskan sumber laut. Di sini kami berborong sakan dengan pelbagai pilihan makanan ringan yang disajikan untuk dibawa balik ke kampung halaman. Setiap daripada kami boleh dikatakan menghabiskan tidak kurang dari seratus ribu rupiah atau bersamaan dengan RM 35 setiap orang. Barangan yang dibeli dikumpul di satu tempat demi kemudahan kami untuk menaiki feri untuk balik ke Malaysia nanti.

Kami kemudiannya meneruskan lawatan ke pusat beli-belah tumpuan ramai di Bagan Pinang. Kawasan ini terkenal dengan barangan yang murah meliputi pakaian dan aksesori peribadi yang bermacam lagi. Aku tidak melepaskan peluang ini dengan menghabiskan jumlah wang agak banyak di sini dengan membeli cenderamata berupa pakaian untuk kesemua ahli keluargaku yang sebelum ini banyak membantu dan menyokong aku dalam menyertai kembara ilmu ini.

Kembara diteruskan lagi. Kali ini aku bersama yang lain akan ke sebuah pulau kecil yang sewaktu ketika dahulu merupakan pusat pemerintahan di Kepulauan Riau. Pulau yang dimaksudkan adalah Pulau Penyengat dan pemerintahan yang dimaksudkan adalah sebuah pentadbiran lampau yang diketuai oleh Raja Ali Haji yang terkenal dengan Gurindam Dua Belas. Perjalanan ke pulau ini mengambil masa sepuluh minit dengan menaiki bot kayu yang sentiasa berulang-alik mengambil penumpang dengan kadar bayaran sebanyak tiga ribu rupiah pergi-balik.

Setibanya aku di Pulau Penyengat, sebuah masjid yang berwarna kuning seakan kuning telur tersergam indah bagaikan meraikan kunjungan kami ke sini. Setelah diberi penerangan oleh penduduk tempatan barulah aku tahu bahawa masjid ini sememangnya menggunakan kuning telur sebagai bahan asas menggantikan simen. Maha Suci Allah yang mengurniakan kebijaksanaan kepada hambanya sehingga manusia mampu berfikir untuk melakukan sesuatu mengikut keperluan. Aku sempat menunaikan solat zohor dan asar secara jamak dan berjamaah di masjid ini.

Daurah Ilmiah ataupun kembara ilmu ini hampir ke penghujungnya. Feri yang akan membawa aku dan peserta rombongan yang lain akan bertolak ke Stulang Laut tidak lama lagi. Masa yang tersisa diisi dengan kunjungan kami ke Restoran Nasi Padang yang begitu tersohor di Bagan Pinang iaitu Restoran Sederhana. Kami menjamu selera dengan masakan Indonesia yang sebenar sebelum berangkat pulang. Sejurus selepas itu, lebih kurang jam 3 petang waktu di sini, panggilan akhir untuk penumpang feri ke Stulang Laut, Johor dibuat. Ini bermakna aku bersama rakan dan pensyarah yang lain harus bergegas masuk ke feri dengan segera agar tidak ketinggalan. Kami tidur nyenyak di dalam feri sehingga tiba di jeti Stulang Laut. Aku memeriksa bagasi dan barangan yang dibeli di Singapura dan Indonesia. memilih yang mana aku punya untuk dibawa balik ke kampung halaman aku di Kota Bharu.

Aku merasa begitu bersyukur dan terharu kerana Allah taala telah memilih aku untuk menyertai kembara ilmu yang amat bermakna ini. Segala yang aku nukilkan di sini hanyalah secebis perasaan dan pengalaman yang aku alami sepanjang daurah sedangkan apa yang terkandung di sudut hatiku jauh lebih menyentuh dan mempunyai makna yang tidak dapat aku nyatakan. Semoga Allah memberkati kita semua.

No comments:

Post a Comment

Islamic Widget