Thursday, January 21, 2010

PENANGAN KOTA SINGA


21 DISEMBER 2009

Pukul 5 pagi aku dikejutkan oleh sahutan suara Ustaz Nazmi, pensyarah pengiring yang terlibat secara langsung dengan kembara ilmu ini. Semua bergegas dengan lekas kerana berdasarkan maklumat yang diperolehi, imigresen ke Singapura bakal sesak dengan orang ramai menjelang lepas subuh. Pelbagai ragam rakan-rakanku dapat kulihat di atas bas dinihari ini. Ada yang masih terlelap dan tidak kurang juga yang amat teruja dengan apa yang bakal ditempuhi di Kota Singa atau Singapura nanti termasuk aku. Sudah lama aku mengimpikan untuk menjejakkan kaki ke Singapura bagi melihat sendiri kemajuan bekas wilayah tanah melayu ini dan kehidupan masyarakat melayu yang masih tersisa di kota cosmopolitan ini.

Kelihatan begitu banyak kenderaan menuju ke pusat imigresen bagi menuju ke Singapura. Aku dan peserta rombongan dikehendaki turun dari bas bagi menjalani pemeriksaan keselamatan agar perkara yang tidak diingini dapat dielakkan. Mujurlah kami datang agak awal, urusan pemeriksaan berjalan lancar. Namun ini baru dugaan pertama, dugaan di pusat pemeriksaan di pintu masuk Singapura lagi mencabar. Jam di tangan kananku menunjukkan hampir pukul tujuh, sedangkan kami semua masih belum bersolat subuh. Kami bersama dengan pensyarah pengiring mencari jalan bagaimana untuk melaksanakan solat subuh sebaik mungkin kerana di imigresen Singapura tidak disediakan surau dan tempat mengambil wudhuk juga tidak kelihatan sama sekali. Kami agak bingung seketika. Namun berkat daripada tujuan ikhlas rombongan ini, kami akhirnya dapat melaksanakan solat subuh walaupun di suatu sudut yang agak terpencil di tingkat paling bawah kompleks imigresen Singapura ini. Kami mengambil wudhuk di bilik air. Pengalaman sebegini kelihatan begitu perit namun bagiku ia amat mahal dan berharga sekali dalam mengajar erti hidup di saat kita menikmati suasana yang senang di negara kita.

Alhamdulillah, kesyukuran aku panjatkan kepada Ilahi kerana dapat menunaikan solat subuh juga akhirnya. Selesai urusan di kedua-dua imigresen, Malaysia dan Singapura, bas rombongan terus bergerak ke Masjid Ba’alawi menyusuri Woodlands dan lebuh raya Singapura selama hampir setengah jam. Mataku tergamam, mulut tak terkata hati tak tersangka, benarlah kata orang seperti yang biasa ku dengar melalui media, kebersihan kota singa begitu terjaga. Pulau yang dihuni 6 juta penduduk ini amat bersih dan tidak ku nampak walau satu sampah pun sepanjang perjalananku ke Masjid Ba’alawi. Setibanya di Masjid Ba’alawi, kami disambut oleh pihak masjid terbabit. Aku akan bermalam di sini malam ini beserta peserta rombongan yang lain.

Kembara ilmu diteruskan ke destinasi berikutnya di Singapura iaitu Makam Habib Noh. Habib Noh merupakan seorang alim dan dikatakan tergolong dikalangan para wali. Makam beliau terletak di atas sebuah bukit kecil di dalam sebuah masjid yang indah. Makam Habib Noh penuh dengan sejarah dan keistimewaannya yang tersendiri. Apa yang yang ku dengar daripada pihak penjaga masjid, pernah beberapa kali kerajaan Singapura mahu memindahkan makam beliau ke tapak yang baru bagi pembinaan lebuh raya. Namun Maha Suci Allah, pelbagai usaha yang diambil kerajaan Singapura tidak berjaya dan sering kali menghadapi halangan. Sehingga ke hari ini Makam Habib Noh masih terpelihara dan terjaga rapi manakala lebuh raya yang dibuat terpaksa dilencongkan sedikit dan perkara ini dapat dilihat dengan jelas di sini mahupun melalui Google Earth. Aku tidak melepaskan peluang berdoa dan menyedekahkan beberapa ayat suci kepada allahyarham. InsyaAllah dengan keberkatannya, doaku dimakbulkan Allah taala.

Kami meneruskan rombongan ke Muzium Warisan yang terletak di Kampung Gelam di mana pada suatu masa dahulu kampung ini merupakan sebuah penempatan melayu yang staregik dan mahsyur di Singapura. Hari ini, penempatan tersebut kian lenyap ditelan zaman dengan pembinaan bangunan pencakar langit yang megah dan yang tinggal hanyalah muzium ini. Hal ini mengajar aku agar tidak bersenang-lenang dan merasa selesa walaupun berada di negara sendiri yang mana majoriti penduduknya adalah dari kalangan kaumku kerana sejarah telah membuktikan bahawa Singapura yang dulunya hak milik kita boleh bertukar tangan kepada orang lain akibat kelalaian kita di samping pertelingkahan sesama sendiri. Sekurang-kurangnya aku memperoleh kesedaran tentang hakikat keadaan bangsaku di Singapura dan aku perlu merintis dan mencetus suatu kebangkitan di negara sendiri agar sejarah pahit jerih di Kota Singa tidak berulang lagi di Malaysia.

Walaubagaimanapun kepiluan hatiku mengenangkan nasib bangsaku di sini sedikit terubat apabila aku dan rakan serombongan yang lain dibawa pula melawat ke Masjid Sultan yang terletak berdekatan Arabic Street. Apa yang boleh kunukilkan hanyalah ungkapan kesyukuran kerana Islam masih mempunyai tempat dan disanjung di sini. Masjid Sultan begitu menggamit pandanganku dengan keindahan dan kehalusan senibinanya setaraf dengan masjid-masjid terkemuka seantero dunia yang lain. Apa tidaknya, negara pulau kecil yang hanya dihuni sebilangan lima belas peratus umat Islam berbanding 6 juta keseluruhan penduduknya mempunyai masjid yang begitu agung di tengah-tengah kota raya Singapura. Aku terharu dan tidak melepaskan peluang bergambar kenangan bersama dengan sahabat-sahabat yang lain yang juga terpegun dengan kesegahan masjid ini.

Seharian melawat beberapa lokasi yang berkaitan dengan sejarah melayu dan Islam di sekitar Singapura, aku dan yang lain di bawa ke lokasi penginapan kami untuk malam ini iaitu di Masjid Ba’alawi. Setibanya di Masjid Ba’alawi, kami menurunkan semua bagasi dan barang keperluan untuk dibawa masuk ke bilik masing-masing kerana kami semua akan bermalam di sini sebelum meneruskan jelajah keesokan harinya. Pada malam ini, kami diberikan sedikit taklimat dan tazkirah oleh Habib Hasan iaitu pewaris kepada Masjid Ba’alawi yang mempunyai sejarah yang tersendiri termasuklah pernah menjadi lokasi kepada solat jenazah pasangan kembar Iran yang dibedah di Hospital Singapura iaitu Ladan dan Ladeh. Masjid ini juga mempunyai sebuah telaga yang mana airnya tidak pernah kering dan dipercayai mengandungi keberkatan hasil usaha dakwah keturunan Alawi yang membuka penempatan di sini suatu masa dahulu. Habib Hasan turut menerangkan tentang beberapa alatan dan barangan sejarah yang dihias di dalam masjid ini yang diperolehi dari segenap pelosok dunia dari Timur Tengah sehingga ke Negara China.

No comments:

Post a Comment

Islamic Widget