Thursday, January 21, 2010
PENCARIAN ILMU PENIMBAAN PENGALAMAN 5962912449038023620
15 DISEMBER 2009
Setelah mengharungi perjalanan hampir lapan jam dari Kota Bharu melalui lebuh raya Kuala Krai – Kuala Lipis dan lebuh raya Karak – Kuala Lumpur akhirnya aku berjaya juga memijakkan kaki aku di ibu kota kebanggaan seluruh rakyat Malaysia, Kuala Lumpur. Kepenatan sepanjang perjalanan bagaikan hilang begitu saja setibanya aku di Hentian Putra, di mana semua bas yang datang dari arah Pantai Timur menurunkan para penumpang di sini bagi destinasi Kuala Lumpur. Aku tidak datang bersendirian, mama dan adikku turut bersamaku katanya mahu mengisi masa cuti yang panjang sambil mengunjungi Pak Su yang menetap di Rawang. Aku dan keluarga terus bergegas ke stesen Komuter yang terdekat bagi meneruskan perjalanan ke Rawang. Azan Maghrib berkumandang, namun beberapa tren komuter yang tiba tidak juga aku dapat naiki kerana sudah menjadi lumrah di sini, orang balik kerja berduyun-duyun menggunakan segala kemudahan pengangkutan yang tersedia, memaksa aku,mama dan adik menunggu lagi. Azan Isya’ pula kedengaran. Kami tidak tahan lagi menunggu, akhirnya tren yang tiba sejurus azan terus aku dan keluarga menerpa masuk walaupun keadaan di dalam tren sesak dengan penumpang pelbagai rupa dan bangsa. Allah maha agung, Dia memberikan rukhsah kepada hambaNya yang musafir. Jadi, kami memilih untuk melakukan solat jamak ta’khir di rumah Pak Su di Rawang. Malam itu, selepas aku dan keluarga menikmati hidangan hasil air tangan Mak Su dan menunaikan solat, kami sekeluarga terus melelapkan mata dan mengharapkan buaian mimpi yang indah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment