Tuesday, October 12, 2010

SEMENDUNG LANGIT DI MUSIM TENGKUJUH

PART 1 : BERJAUHAN

“Alhamdulillah, panas cuaca hari ni..” bisik faisal sendirian sambil mengangkat pakaiannya yang tersidai sejak pagi di jemuran. “nasib baik kering baju seluar aku, kalo tak, boleh musnah segala impian dan hajat orang tua yang mahu lihat aku berjaya ke kolej perguruan tu”. Faisal yang baru menamatkan pengajian peringkat menengah di Sekolah Menengah Sri Pengkalan dan baru sahaja mendapat keputusan SPM begitu teruja dengan apa yang bakal dia lalui kerana hasil usahanya selama ini diiring doa ahli keluarga, dia telah ditawar untuk melanjutkan pelajaran ke kolej perguruan Petaling Jaya.
“jam berapa bas malam ni”?. “Jam 10 mak”, jawab faisal spontan pada emaknya yang begitu mengambil berat terhadap anak lelaki sulungnya yang bakal menyambung pelajaran di ibu kota. Begitulah kaedaanya Mak Nab begitu ceria sambil tolong mengemas beg pakaian dan kelengkapan diri anaknya yang bakal ke Kuala Lumpur malam itu bagi mengikuti kursus ijazah perguruan di sebuah kolej. Hati faisal begitu berkobar-kobar walaupun sekali-sekala terdetik rasa sayu kerana akan berjauhan dengan keluarga tersayang. Maklumlah, faisal merupakan anak kesayangan Mak Nab dan mereka tidak pernah berjauhan hatta sekolah pun hanya di tepi kampungya saja. Naik basikal tak sampai lima minit, dah sampai sekolah. Begitulah rutin harian faisal dan emaknya beberapa bulan yang lalu tetapi kini faisal bakal berpisah dengan emaknya untuk yang pertama kalinya sepanjang hidup mereka. Walaubagaimanapun semangat dan minatnya yang menjulang tinggi untuk menimba ilmu baru dan hasrat mahu menggapai cita-cita telah sedikit sebanyak mengurangkan rasa kesayuan yang terbuku di hatinya. Berat mata memandang berat lagi yang memikul perasaan. Lain halnya dengan Pak Zain yang kelihatan bersahaja dengan wajah tanpa emosi sesuai dengan peranannya sebagai seorang bapa. Sebagai bapa sekaligus sebagai ketua keluarga, Pak Zain tidak menunjukkan walau sedikit riak atau air muka sedih terhadap anakya yang bakal ke Kuala Lumpur itu. Walhal, jauh bersarang di sudut hati Pak Zain, rasa rindu dan sayunya terhadap anak sulungnya itu, tetapi demi masa depan, perkara sebegini tidak perlu dirintihkan kerana dia tahu Faisal juga yang pada suatu hari nanti akan meneruskan legasi keluarganya.
Selesai bersalaman dengan abah, mak, Nek Jah dan dua adiknya iaitu Faikal dan Fairuz, Faisal terus bergegas menuju ke Proton Saga biru lama yang dipandu pak ciknya Pak Long yang telah menunggu di dalam kereta bagi menghantar Faisal ke terminal bas yang terletak di Bandar Kota Bharu. Sepanjang perjalanan ke stesen bas, imbauan wajah keluarga tersayang Faisal tidak dapat dikekang, air mata bagai bila-bila masa boleh berderai, tetapi sebagai harapan keluarga, faisal hanya menganggap itu semua hanya permainan perasaan. Pak Long hanya memandu kereta tanpa berkata apa-apa, dia cuma menghendap jam di keretanya saja kerana bimbang Faisal akan ketinggalan bas. Tepat jam 9.30 malam, mereka sampai ke terminal bas. Setelah selesai menyemak tiket dan membawa keluar barang-barang dari bonet kereta, Faisal bergegas mencari bas yang berkenaan, Ekspress Budaya seat bernombor 22 seperti yang tertera pada tiketnya.
Bas sudah di depan mata, Pak Long pula sudah entah kemana. Faisal terus menaiki bas tersebut tanpa bertemankan seorangpun yang dikenalinya di dalam bas itu. Setengah jam perjalanan, hujan renyai-renyai mulai turun mendinginkan lagi suasana yang sedia sejuk dengan air-cond bas tersebut. Faisal seperti melayan suasana kedinginan malam tersebut hingga lena dibuai mimpi dan impi. Perjalanan di malam hari yang mengambil masa lebih tujuh jam itu akhirnya tiba ke destinasi di Hentian Putra Kuala Lumpur.
Sesudah melaksanakan kewajipan solat subuh,faisal mencari cebisan kertas yang diberikan jirannya yang tercatat nombor keretapi komuter dan bas henti-henti yang harus diambil untuk ke kolej pengajiannya yang terletak 30 minit dari hentian bas ini.

No comments:

Post a Comment

Islamic Widget