Monday, February 1, 2010

BERKATNYA MASIH ADA

SHEIKH OSMAN JALALUDDIN AL-KALANTANI (1880 – 1952)


Salah seorang guru pondok dan ulama’ pengarang tersohor di Semenanjung Melayu pada suku kedua abad ke-20 Masihi. Seangkatan dengan Tok Seridik, Haji Ismail Pontianak, Haji Omar Banggol Kulim, Dato’ Perdana, Haji Mat Jebeng. Beliau bukan sahaja terkenal di Kelantan dan Pulau Pinang, tetapi juga terbilang di Makkah.


Nama penuh tokoh ulama kelahiran Kg. Panjang, daerah Sering di sempadan jajahan Kota Bharu/Bachok pada penghujung 1297H/1880M ini ialah Haji Osman bin Muhammad. Lantaran itu pada peringkat awalnya beliau lebih dikenali dengan panggilan Haji Seman Sering.
Beliau termasuk dalam kumpulan murid kesayangan Tok Kenali. Juga pernah berguru dengan Haji Jamaluddin Perupok dan Haji Abdul Malek Sungai Pinang. Di Makkah pula, beliau sering mendampingi Tuan Mukhtar Bogor (Syeikh Mohd. Mukhtar bin Atarid) yang ternama itu.
Namanya mula “timbul” selepas kejayaan beliau mendirikan Madrasah Manabi’ al-Ulum (1932) di Penanti, Bukit Mertajam. Madrasah ini kemudiannya muncul sebagai pusat pengajian pondok yang paling maju di Seberang Perai, khususnya pada dasawarsa 1930-an dan 1940-an.
Sebagai pendidik yang dedikasi beliau banyak menghasilkan karya sendiri dan terjemahan. Syeikh Osman bukan sahaja berhati-hati dalam menghasilkan sesuatu karangan, tetapi juga selalu memilih topik yang berkait rapat dengan persoalan yang dihadapi oleh masyarakat. Kitab al-Durrat al-Nafi’ah (Alamat Kiamat) karangannya meletakkan beliau sebagai sasterawan Islam yang berpandangan jauh kerana ia dianggap buku berbahasa Melayu paling terperinci membicarakan perihal tanda-tanda dunia hampir kiamat.
Di samping itu Syeikh Osman kerap berulang-alik ke Makkah dan diberi kepercayaan mengajar di Masjid al-Haram. Sebab itu muridnya ramai. Mereka termasuk Hj. Abdul Rahman Sungai Durian, Hj. Abdul Rahman Lubok Tapah, Hj. Abdullah Lati, Hj. Abdullah Kg. Laut, Hj. Hassan Ketereh, Hj. Abu Bakar Tiu, Hj. Mohd. Ibrahim Akibi Pulau Pinang, Hj. Ismail Merbok, Hj. Husein Umbai, Hj. Abdul Ghani Kubang Bemban dan antara yang masih ada lagi ialah Ustaz Abdul Kadir Kamaluddin (lahir 1921), Ketapang Tengah, Pekan, Pahang.
Tokoh yang amat mementingkan istiqamah dan disiplin diri ini ditakdirkan meninggal di tanah suci Makkah waktu fajar hari Jumaat 30 Zulhijjah 1371 bersamaan 19 September 1952.
 

No comments:

Post a Comment

Islamic Widget