Wednesday, May 11, 2011

HArApAn & iMPiaN



Setiap dari kita yang bergelar insan mustahil untuk tidak menyimpan sebarang hajat, harapan mahupun sekurang-kurangnya impian. Apa beza harapan dan impian? kedua-dua kalimah ini membawa maksud yang hampir sama iaitu keinginan kita, cuma penulis rasa harapan merupakan keinginan hati yang lebih utama berbanding impian.Dengan kata lain, kita lebih bersungguh dalam mengejar dan merealisasikan harapan kita sementara impian pula lebih kepada suatu keinginan atau cita-cita yang lebih bersifat ke arah khayalan atau imaginasi semata-mata tanpa usaha yang lebih teguh berbanding maksud harapan. Ini hanya justifikasi penulis sahaja.

Beberapa minggu kebelakangan ini, penulis agak disibukkan dan menyibukkan diri dengan pelbagai tugas. Sementelah penulis baru sahaja menjalani Praktikum (latihan keguruan) baru-baru ini disamping tugasan-tugasan di institut dan tugasan peribadi yang lain. Sudah sepurnama lebih penulis tidak meng'up-date' blog. Kali ini ingin diri ini mencuri masa menabur kata dalam bentuk taipan dengan sedikit pengetahuan dan keizinan dari Yang Mencipta. InsyaAllah mendapat redha dariNya.

Sengaja penulis mengutarakan kalimah harapan dan impian sebagai set induksi pada perenggan awal dan sebagai tajuk bagi entry kali ini sebagai mengaitkan dengan peranan doa. Walau apa pun perkataan yang digunakan samada harapan, impian, hajat, keinginan hatta dalam bahasa dan dialek apa sekalipun, doa merupakan jalan kepada segala perkataan yang disebutkan itu di samping usaha semampu upaya yang telah dikerahkan. Doa merupakan senjata yang paling ampuh dan perisai yang paling kebal dalam kehidupan seharian kita di muka bumi ini. Kita tidak pernah tidak ada apa-apa kerana kita sentiasa dibukakan pintu rahmat seluas-luasnya. Pintu doa tidak pernah ditutup selagi mana kita bernama Muslim dan mengesakan Allah. 

Doa kita sebenarnya tidak pernah tidak dimakbulkan Allah. Ini kerana apabila kita terlintas untuk berdoa, maka Allah telah memberi peluang kepada kita untuk doa kita dimakbulkan. Allah memakbulkan doa dalam pelbagai cara, cuma kita kadang-kala mengatakan doa tidak dimakbulkan sedangkan Allah mengetahui yang terbaik buat kita. Penulis pernah mendengar seorang ustaz memberitahu bahawa Allah memakbulkan doa kita dengan 3 cara seperti di bawah:
1- Allah memakbulkan doa sebagaimana yang dipinta.
2- Allah memberikan sesuatu yang lebih baik drpd apa yang dipinta.
3- Allah menangguhkan doa kita di dunia dan memberi ganjaran di akhirat yg tiada tolok bandingnya.

Penulis mengharap dan mendoakan kita semua dikurnaiakan terhadap apa sahaja harapan dan impian yang diinginkan selagi tidak menyalahi syariat. Penulis juga memohon kalian yang sudi melawat blog ini mendoakan penulis mencapai apa yang dihajati. Segala yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk itu akan diperbaiki lagi di masa hadapan.

(“Bermimpilah, maka Allah akan memeluk mimpi-mimpimu”)- Laskar Pelangi

    # selesa guna "penulis" plak....hehe         
       -pasni nk gna ape plak??-

Islamic Widget